Pages

Ahad, Januari 24, 2010

Tidur Lebih, Berat Badan Berkurang?

Tajuk entri kali ini membuatkan kita yang badan berisi nak tidur awal. Ok.. mulai hari ini saya mencadangkan anda supaya menutup TV selepas pukul 10.00 malam dan cepat-cepat pergi tidur. Kenapa ye?
Kerana kajian menunjukkan kalau tidur tidak mencukupi, maka secara automatik akan meningkatkan tahap selera kita untuk makan dan makan …… lalu, berat badan pun akan semakin bertambah…

Seorang pakar kesihatan dari Montefiore Medical Center, Micheal Thorpy berkata:
"Sleep deprivation appears to increase your production of cortisol, a hormon that helps regulate your appetite"

Kalau kita tidak cukup tidur boleh membuatkan keupayaan tubuh manusia membakar karbohidrat menjadi semakin perlahan. Ianya boleh meningkatkan kandungan gula dalam darah dan menyebabkan tubuh kita menyimpan lebih banyak lemak. Lemak yang disimpan akan meningkatkan berat badan kita.
Sebaik-baiknya tidur la dalam 7-8 jam sehari. Bila cukup tidur, berat badan kita mungkin menurun. Alamak dah pukul 2 pagi… Selamat malam…

Jumaat, Januari 15, 2010

Dah Sama-Sama Tua..




Di dalam sebuah kampung, ada seorang duda yang sudah berumur tinggal seorang diri di rumahnya. Anak-anak sudah besar dan semua bekerja di bandar. Ada anaknya mengajak tinggal dengan mereka di bandar, tapi siduda ini menolak kerana lebih selesa tinggal di rumahnya sendiri di kampung. Sudah lebih 6 tahun hidup menduda selepas isterinya meninggal dunia.

Berdekatan rumahnya pula ada seorang janda yang agak berumur dan juga tinggal seorang diri. Sudah bertahun-tahun mereka berjiran dan sering bertemu dan bersembang ketika kesunyian.

Suatu hari pada waktu petang, siduda duduk berehat di bawah pokok rambai merenung ke arah rumah sijanda. Sijanda perasan dan datang menegur siduda.

"Pak Uda oi… Apa yang dimenungkan tu?"

"Saya ada perkara nak bagi tahu awak ni, Mak Jan." ujar Pak Uda

"Apanya Pak Uda? Serius aje bunyinya" berkerut dahi Mak Jan melihat muka Pak Uda.

Siduda merenung sijanda, l
alu dengan kekuatan yang pada dirinya, dia berkata,
"Saya ini teringin nak beristerikan awak. Sudi tak?"

Sijanda tersenyum dan diam seketika.

” Hmmm...sudi ”jawab Mak Jan dengan suara perlahan malu-malu.

Kemudian mereka pun berborak seketika. Tak lama kemudian, Mak Jan minta izin untuk pulang ke rumahnya kerana hari sudah menjelang senja.

Pada malam tu, siduda rasa gelisah. Dia tidak ingat jawapan yang diberi oleh sijanda petang tadi. Adakah dia sudi atau tak? Memori dah lemah. Nak buat macam mana?

Setelah berfikir bersungguh-sungguh, siduda tidak juga mendapat jawapan. Jadi terpaksalah dia bertanya sekali lagi kepada sijanda. Siduda pun telefon sijanda itu kerana nak pergi ke  rumah tidak molek pulak kerana sudah malam begini. Nanti lain pula jadinya.

"Helo Mak Jan. Pak Uda di sini. Saya nak bertanya,almaklum sudah tua mudah lupa.
Petang tadi saya tanya awak,sudikah awak kahwin dengan saya.. Apa yang awak jawab?"

"Saya jawab ,sudi..ikhlas dari hati. Err.. nasib baik awak telefon saya, Pak Uda ..."

”Kenapa ?...”Siduda bertanya kerana berasa pelik dengan ayat terakhir sijanda.

"Saya pun lupa siapa yang ajak saya kahwin petang tadi ..."


Jumaat, Januari 08, 2010

Kawan Lama



Gambar ini diambil pada tahun 1975 iaitu selepas menduduki peepriksaan SPM.  Masa tu aku sedang belajar di Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Petani dan tinggal di asrama. Selepas selesai mengambil peperiksaan kertas yang terakhir, kawan-kawan ajak ambil gambar kenangan. Tempat gambar ini diambil ialah di Garden Sungai Petani yang terletak berhampiran jam besar. Sekarang ni tapak Taman Bunga (Garden) ini sudah dibina  Bangunan SP Plaza yang  mengandungi supermarket dan pejabat-pejabat kerajaan. Dulu, tempat ini cukup cantik, penuh dengan pokok bunga dan ada kolam ikan. Pada waktu petang, ramai warga Sungai Petani yang datang berehat-rehat dan ada juga yang memadu asmara di celah-celah pokok bunga.
Sahabat karib aku dalam gambar ialah Shabudin bin Long (kiri) dan Abd Samad Md Isa (kanan), aku yang duduk ditengah-tengah. Shabdin Long sekarang dah jadi pensyarah di Universiti Sabah dan dengar kata dah pindah universiti lain pula. Samad Md Isa sekarang ni tinggal di Yan, jadi tauke padi.

Khamis, Januari 07, 2010

Cerita Yang Paling Sedih

Pernah dengar tak cerita yang paling sedih.. cukup sedih.

Suatu ketika di Kuala Lumpur, ada tiga anak muda yang bekerja sebagai eksekutif dan tinggal bersama di pangsapuri yang mewah. Rumah mereka terletak di tingkat yang paling atas, iaitu tingkat 30. Punyalah hebat, bila jenguk di tingkap, akan nampak pemandangan seluruh bandaraya KL yang indah.

Suatu petang bila balik dari kerja, sesampai di pangsapuri ,mereka nampak ramai orang berada di kawasan lif. Ingatkan ada kemalangan ke, rupa-rupanya lif rosak.  Apalagi mereka bertiga pun mengeluh sakan. Mula-mula tu, tunggu juga la, mana tau kalau ada orang datang baiki. Tapi selepas satu jam, tak ada apa-apa perkembangan. Hari dah semakin gelap, badan pun dah berlengas. Last sekali, mereka bertiga ambil keputusan untuk panjat tangga. Bayangkan tingkat 30 nak panjat tangga, mau terlucut kepala lutut!.

Semasa sampai di tingkat 2, seorang dari mereka membuat cadangan.
 ” Apa kata kita bercerita, supaya tak rasa letih. Tapi tak boleh la cerita lawak, nanti letih pasai banyak gelak. Kita cerita yang sedih-sedih”katanya.

Maka, pemuda yang pertama pun mula bercerita sambil mereka memanjat tangga. Kisah dia masa kecik-kecik dulu hidup susah. Kena motong getah, makan nasi lauk ikan masin. Sedih sungguh cerita dia, sampai meleleh air mata. Bila habis cerita, tak sedar pun dah sampai tingkat 15.

Giliran pemuda yang kedua pula bercerita. Dia pun bercerita mengenai masa dia mula-mula mai KL, susah hidupnya. Menumpang rumah kawan. Kadang-kadang tak makan nasi dua tiga hari (tapi makan roti, kalau tidak, mati laa). Buat kerja macam-macam, kena halau pasai tak bayar sewa rumah dan lain-lain lagi. Punyalah sedih sampai kawan-kawan yang dengar pun meleleh air hidung kesedihan. Bila habis cerita yang panjang lebar tu, rupanya dah sampai tingkat 25. Dah dekat, lagi 5 tingkat. Baju pun dah lencun semuanya kerana berpeluh.

Giliran pemuda yang ketiga pula bercerita.

” Cerita aku adalah cerita yang paling sedih sekali” katanya sambil meraba-raba poket seluarnya.

” Ceritalah, kami nak dengar” jawab kawannya.

”Ceritanya begini, kunci rumah kita, aku tertinggal di bawah nuu..dalam kereta!”

Apa lagi, hu..hu.. kedua-dua kawannya meraung... kesedihan.


Khamis, Oktober 16, 2008

Ke Tanah Minang part 3

Sepanjang perjalanan dengan bas parawisata, pemandangan yang biasa dilihat ialah 'parabola'. Semua rumah ada parabola untuk mendapat siaran TV. Tak kira rumah besar ke atau warung kecil dan 'daif' seperti ini.




Dalam perjalanan melalui jalan yang berliku-liku, singgah sebentar menghilangkan lenguh di Air Mancur (Air Terjun) Lembah Anai.


Air Terjun Lembah Anai ini terletak betul-betul di tepi jalanraya. Selepas bas parking, apa lagi ambil peluang bergambar di depan air terjun itu. Percikan air terjun yang sejuk itu mengenai muka..terasa sungguh dingin dan menyegarkan.



Tempat seterusnya yang disinggahi ialah Rumah Gadang. Rumah ini dibina khas untuk para pelancong melawat. Tiada orang tinggal di dalam rumah ini cuma sebagai rumah contoh.


Di dalam rumah ini terdapat berbagai bahan pameran seperti buku-buku lama tentang adat Orang Minangkabau dan juga pakaian tradisional untuk majlis perkahwinan. Nak cuba pakai pun boleh.





Pantun Lama-lama

Pantun Melayu lama amat indah bahasanya. Saya terjumpa pantun lama ini dalam sebuah buku yang dibaca baru-baru ini. Antara pantun-pantun itu ialah:

Empat kepul satu cupak,
Empat cupak satu gantang;
Tidak betul ibu bapak,
Anak pinak lintang pukang.


Anak raja memikul kayu,
Kayu hendak dibuat titi;
Satu saja penyakit Melayu,
Hasad dengki dalam hati.



Ada juga pantun yang lucu. Pantun ini menyindir terhadap masyarakat sekeliling yang berkiatan dengan agama. Cuba hayati pantun-pantun di bawah ini :

Cabai ini cabai melaka,
Masak sebiji tergantung-gantung;
Lebai ini lebai celaka,
Hingar bingar dalam kampung.


Terhinggut-hinggut tergoyang-goyang,
Gulai lemak buah kabu;
Taruh janggut tidak sembahyang,
Buat semak bawah dagu!.


Pantun yang puitis dan bahasa berbunga-bunga jarang kita baca akhir-akhir ini. Pembayang pantun ini menggunakan bahasa yang cukup indah. Cuba baca pantun lama ini :

Mekar kasturi tumbuhnya tinggi,
Dihela pawana hujungan kota;
Taat diri tiada berbagi,
Amanah dijana janji dikota.


Burung merpati terbang ke hutan,
Hinggap seekor di tepi denai;
Tuan umpama cahaya intan,
Bagai zamrud baru dicanai.

Kapal belayar patah kemudi,
Ambil bangku bawa berenang;
Tuan seorang yang baik budi,
Itulah sebab duduk mengenang.

Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman;
Kalungan budi junjungan kasih,
Mekar kenangan sepanjang zaman.


Ini pula pantun enam kerat. Maksud yang tersirat dalam pantun ini sungguh mendalam. Kalau tak faham.. tanyalah pada orang tua-tua:

Kalau pergi merantau,
Yu beli belanak pun beli,
Ikan parang beli dahulu;
Kalau anak pergi merantau,
Ibu cari anak pun cari,
Induk semang cari dahulu.

Isnin, Oktober 13, 2008

Athilah dan Awfiyah

Athilah dan Awfiyah bukan main seronok main air di The Carnival Water Park . Berjam-jam dalam air tapi masih tak puas juga....


Bergaya bersama dengan angkasawan!.... Sebelum masuk tengok pameran "tahi bintang" yang sungguh menarik.

Bergambar sebelum melihat kuda dalam kandang...


Sabtu, Oktober 11, 2008

Ke Tanah Minang part 2


Satu tempat yang paling cantik pemandangannya di Bukittinggi ialah Ngarai Sianok yang terletak di pinggit bandar ini. Dari tebing kita dapat lihat ngarai yang sayup mata memandang. Kagum... ciptaan Allah yang Maha Kaya.


Berhampiran dengan Ngarai Sianok , terdapat satu lagi tinggalan sejarah yang menarik. Tempat itu dinamakan Lobang Jepang . Ia merupakan sebuah terowong yang dibina oleh penjajah Jepun semasa perang Dunia Kedua.




"Lobang Jepang" atau terowong Jepun ini mengandungi bilik-bilik pegawai Jepun, bilik masak, tempat tahanan dan tempat simpan senjata. Menuruni anak tangga yang banyak amat meletihkan tapi bila sampai di dalam terowong itu, rasa kagum pun ada. Tapi yang sedihnya, bila pemandu pelancong menceritakan sejarah pembinaannya, ramai rakyat Indonesia yang terbunuh semasa dipaksa menggali terowong itu. Buat masa ini, terowong itu sedang dinaiktaraf, jadi beberapa bahagian dalam terowong itu tak dapat dilawati.



Istano Silinduang Bulan, satu objek pelancongan yang sangat menarik. Ukiran pada Istana ini sungguh halus dan berwarna-warni. Istana ini dibina tanpa menggunakan walau sebatang pun paku.


Istana yang dibina dengan kayu dan sarat dengan ukiran halus menghiasi seluruh istana ini. Masa kami melawat tu Hari Jumaat, Istana ditutup. Jadi tak dapat masuk, cuma lihat pada bahagian luar sahaja. Menarik.. 

Selasa, Oktober 07, 2008

Rumah Indonesia

Rumah Papua

Rumah Minangkabau



Rumah Flores
Rumah Cirebon
Rumah Bugis
Rumah Batak
Rumah Banjar
Bali..... satu tempat yang indah pemandangannya. Lihatlah gambar ini. Sejuk mata memandangnya. Datanglah.......

Sabtu, Oktober 04, 2008

Ke Tanah Minang 1

Awal bulan Ogos 2008, ada kesempatan melancong dengan rakan sekerja ke Tanah Minang, Indonesia. Tempat yang dituju ialah Padang dan Bukittinggi, Indonesia. Terbang ke sana dengan AirAsia. Bertolak dari LCCT, Sepang ke Airport Padang mengambil masa lebih kurang satu jam. Tapi yang tak best tu, check in di LCCT pada pukul 4 pagi!. Aduh.... mengantuknya. Pakej kali ni, selama 4 hari 3 malam.


Trade mark yang paling biasa sekali di sini ialah rumah dengan bumbung melengkung- itulah keunikan Minangkabau. Sepanjang perjalanan banyak kelihatan rumah atau bangunan yang mempunyai bumbung begitu terutama di kawasan kampung di Pagar Ruyung dan Batu Sangkar.



Kalau nak shopping di Bukittinggi, memang menyeronokkan. Kalau bawa Rp1 juta(RM370), sekejap saja dah habis. Paling banyak ialah kain telekung. Ada macam-macam jenis dari yang berharga Rp100 ribu sampailah Rp 900 ribu. Tapi, harus pandai tawar menawar pak! Kalau tidak, terkena.


Semasa di Bukittinggi, kami menginap di Hotel Kharisma. Cuaca di Bukittinggi cukup nyaman. Malam cuaca lagi sejuk, sebab tu di hotel tak ada air-cond. Bab makan, yang paling best 'nasi padang'. Memang sedap dan puas la makan.