Pages

Khamis, Oktober 16, 2008

Ke Tanah Minang part 3

Sepanjang perjalanan dengan bas parawisata, pemandangan yang biasa dilihat ialah 'parabola'. Semua rumah ada parabola untuk mendapat siaran TV. Tak kira rumah besar ke atau warung kecil dan 'daif' seperti ini.




Dalam perjalanan melalui jalan yang berliku-liku, singgah sebentar menghilangkan lenguh di Air Mancur (Air Terjun) Lembah Anai.


Air Terjun Lembah Anai ini terletak betul-betul di tepi jalanraya. Selepas bas parking, apa lagi ambil peluang bergambar di depan air terjun itu. Percikan air terjun yang sejuk itu mengenai muka..terasa sungguh dingin dan menyegarkan.



Tempat seterusnya yang disinggahi ialah Rumah Gadang. Rumah ini dibina khas untuk para pelancong melawat. Tiada orang tinggal di dalam rumah ini cuma sebagai rumah contoh.


Di dalam rumah ini terdapat berbagai bahan pameran seperti buku-buku lama tentang adat Orang Minangkabau dan juga pakaian tradisional untuk majlis perkahwinan. Nak cuba pakai pun boleh.





Pantun Lama-lama

Pantun Melayu lama amat indah bahasanya. Saya terjumpa pantun lama ini dalam sebuah buku yang dibaca baru-baru ini. Antara pantun-pantun itu ialah:

Empat kepul satu cupak,
Empat cupak satu gantang;
Tidak betul ibu bapak,
Anak pinak lintang pukang.


Anak raja memikul kayu,
Kayu hendak dibuat titi;
Satu saja penyakit Melayu,
Hasad dengki dalam hati.



Ada juga pantun yang lucu. Pantun ini menyindir terhadap masyarakat sekeliling yang berkiatan dengan agama. Cuba hayati pantun-pantun di bawah ini :

Cabai ini cabai melaka,
Masak sebiji tergantung-gantung;
Lebai ini lebai celaka,
Hingar bingar dalam kampung.


Terhinggut-hinggut tergoyang-goyang,
Gulai lemak buah kabu;
Taruh janggut tidak sembahyang,
Buat semak bawah dagu!.


Pantun yang puitis dan bahasa berbunga-bunga jarang kita baca akhir-akhir ini. Pembayang pantun ini menggunakan bahasa yang cukup indah. Cuba baca pantun lama ini :

Mekar kasturi tumbuhnya tinggi,
Dihela pawana hujungan kota;
Taat diri tiada berbagi,
Amanah dijana janji dikota.


Burung merpati terbang ke hutan,
Hinggap seekor di tepi denai;
Tuan umpama cahaya intan,
Bagai zamrud baru dicanai.

Kapal belayar patah kemudi,
Ambil bangku bawa berenang;
Tuan seorang yang baik budi,
Itulah sebab duduk mengenang.

Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman;
Kalungan budi junjungan kasih,
Mekar kenangan sepanjang zaman.


Ini pula pantun enam kerat. Maksud yang tersirat dalam pantun ini sungguh mendalam. Kalau tak faham.. tanyalah pada orang tua-tua:

Kalau pergi merantau,
Yu beli belanak pun beli,
Ikan parang beli dahulu;
Kalau anak pergi merantau,
Ibu cari anak pun cari,
Induk semang cari dahulu.

Isnin, Oktober 13, 2008

Athilah dan Awfiyah

Athilah dan Awfiyah bukan main seronok main air di The Carnival Water Park . Berjam-jam dalam air tapi masih tak puas juga....


Bergaya bersama dengan angkasawan!.... Sebelum masuk tengok pameran "tahi bintang" yang sungguh menarik.

Bergambar sebelum melihat kuda dalam kandang...


Sabtu, Oktober 11, 2008

Ke Tanah Minang part 2


Satu tempat yang paling cantik pemandangannya di Bukittinggi ialah Ngarai Sianok yang terletak di pinggit bandar ini. Dari tebing kita dapat lihat ngarai yang sayup mata memandang. Kagum... ciptaan Allah yang Maha Kaya.


Berhampiran dengan Ngarai Sianok , terdapat satu lagi tinggalan sejarah yang menarik. Tempat itu dinamakan Lobang Jepang . Ia merupakan sebuah terowong yang dibina oleh penjajah Jepun semasa perang Dunia Kedua.




"Lobang Jepang" atau terowong Jepun ini mengandungi bilik-bilik pegawai Jepun, bilik masak, tempat tahanan dan tempat simpan senjata. Menuruni anak tangga yang banyak amat meletihkan tapi bila sampai di dalam terowong itu, rasa kagum pun ada. Tapi yang sedihnya, bila pemandu pelancong menceritakan sejarah pembinaannya, ramai rakyat Indonesia yang terbunuh semasa dipaksa menggali terowong itu. Buat masa ini, terowong itu sedang dinaiktaraf, jadi beberapa bahagian dalam terowong itu tak dapat dilawati.



Istano Silinduang Bulan, satu objek pelancongan yang sangat menarik. Ukiran pada Istana ini sungguh halus dan berwarna-warni. Istana ini dibina tanpa menggunakan walau sebatang pun paku.


Istana yang dibina dengan kayu dan sarat dengan ukiran halus menghiasi seluruh istana ini. Masa kami melawat tu Hari Jumaat, Istana ditutup. Jadi tak dapat masuk, cuma lihat pada bahagian luar sahaja. Menarik.. 

Selasa, Oktober 07, 2008

Rumah Indonesia

Rumah Papua

Rumah Minangkabau



Rumah Flores
Rumah Cirebon
Rumah Bugis
Rumah Batak
Rumah Banjar
Bali..... satu tempat yang indah pemandangannya. Lihatlah gambar ini. Sejuk mata memandangnya. Datanglah.......

Sabtu, Oktober 04, 2008

Ke Tanah Minang 1

Awal bulan Ogos 2008, ada kesempatan melancong dengan rakan sekerja ke Tanah Minang, Indonesia. Tempat yang dituju ialah Padang dan Bukittinggi, Indonesia. Terbang ke sana dengan AirAsia. Bertolak dari LCCT, Sepang ke Airport Padang mengambil masa lebih kurang satu jam. Tapi yang tak best tu, check in di LCCT pada pukul 4 pagi!. Aduh.... mengantuknya. Pakej kali ni, selama 4 hari 3 malam.


Trade mark yang paling biasa sekali di sini ialah rumah dengan bumbung melengkung- itulah keunikan Minangkabau. Sepanjang perjalanan banyak kelihatan rumah atau bangunan yang mempunyai bumbung begitu terutama di kawasan kampung di Pagar Ruyung dan Batu Sangkar.



Kalau nak shopping di Bukittinggi, memang menyeronokkan. Kalau bawa Rp1 juta(RM370), sekejap saja dah habis. Paling banyak ialah kain telekung. Ada macam-macam jenis dari yang berharga Rp100 ribu sampailah Rp 900 ribu. Tapi, harus pandai tawar menawar pak! Kalau tidak, terkena.


Semasa di Bukittinggi, kami menginap di Hotel Kharisma. Cuaca di Bukittinggi cukup nyaman. Malam cuaca lagi sejuk, sebab tu di hotel tak ada air-cond. Bab makan, yang paling best 'nasi padang'. Memang sedap dan puas la makan.